"Hati yang ihsan adalah punca kepada segala ilmu. Ilmu yang bermenefa'at
wajib di sampaikan ibarat harta yang wajib dizakatkan".
Jangan Ada Benci Di Hati
Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI
dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita
akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita.
Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh
rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin
akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua
jabatannya.
Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita
mudah menjalin hubungan dengan orang lain.
Kaedah Mengikis Benci
Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang
sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci
muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak
bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur?
Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan
semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta
menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.
Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan Antara faktor
yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain
mudah tertarik kepada kita ialah:
1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.
2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu
berwaspada setiap masa).
3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita. 4)
Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga,
masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.
5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s.a.w. pernah berpesan supaya
mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.
6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap
orang seronok berinteraksi dengan kita.
7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu
dengan yang lain.
8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang
kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.
9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan
tertarik kepada kita.
10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain,
terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke
pangkal jalan apabila mengingati mati.
11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.
12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian
salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan
simpati dan perhatian.
14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan
atau keburukan orang lain.
16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan
iringi perpisahan dengan doa.
Terlebih Dahulu Baiki Diri
Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih
dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya
tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh men-sabotaj dan
merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara
berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain.
Ingatlah pesanan seorang sarjana:
"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah
mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka."
Wallahu'alam

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.